Kalimah Allah : Akar Umbi Desak Hadi Awang Tarik Balik Persetujuan
KUALA LUMPUR 30 April - Pertikaian penggunaan Kalimah Allah bagi kalangan bukan Islam kini semakin memuncak dari kalangan Pakatan Rakyat justeru desakan mula timbul bagi Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menarik semula persetujuan yang ditandatangani oleh beliau dan pemimpin pembangkang yang lain.
Aktivis PAS Mohd Riza Kamarudin berkata, penarikan balik persetujuan tersebut ekoran bagi meneguhkan pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang secara terang tidak merestui persetujuan tersebut.
"Persetujuan itu belum ditarik balik secara rasmi dan ini bermaksud PAS selamanya menyokong tuntutan DAP tersebut."
"Oleh itu. saya menyeru semua jentera parti PAS bangkit membantah dalam isu kalimah Allah ini."
"Jangan jadi 'pak sanggup' dan 'kambing hitam' demi meraih sokongan dan memberi kepentingan secara langsung kepada DAP dan legasinya," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Jelas Riza lagi, umat Islam terus diperbodoh oleh pemimpin PAS dengan menggunakan kenyataan Majlis Syura Ulamanya yang disifatkan beliau sebagai tidak membawa sebarang makna.
Serentak dengan itu, beliau turut mendesak Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh memohon maaf secara terbuka tanpa syarat ekoran kebiadapannya memperjuangkan penggunaan Kalimah Allah untuk digunakan dalam kitab Injil berbahasa Melayu.