Dalam keriuhan pengumuman calon BN yang diumumkan hari ini, beberapa buah negeri bakal dijangka mendapat menteri besar baru selepas pilihan raya umum 5 Mei ini.
Johor, Melaka dan Perlis antara negeri yang disebut bakal mendapat menteri besar baru selepas penyandangnya sebelum ini berpindah ke kerusi parlimen atau tidak mempertahankan kerusi mereka yang sedia ada.
Di Johor, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman tidak mempertahankan kerusi tradisinya - DUN Serom - sebaliknya berpindah ke parlimen Gelang Patah menentang tokoh DAP Lim Kit Siang.
Oleh itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) antara calon yang disebut-sebut dilantik ke jawatan itu selepas diumum bertanding kerusi DUN Permas dalam pilihan raya umum kali ini.
Situasi yang sama juga berlaku di Melaka, apabila penyandangnya Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding di kerusi parlimen Bukit Katil. Beliau bakal berdepan dengan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin.
Pilihan raya umum 2008 menyaksikan Mohd Ali menang di DUN Bukit Baru - antara tiga kerusi dalam parlimen Bukit Katil - dengan majoriti 2,708 undi menewaskan calon PAS Bakrin Sidek.
Di Perlis pula, Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu mengundur diri daripada bertanding sebarang kerusi DUN di negeri itu.
Beliau memberi kepercayaan kepada Ketua Wanita Umno negeri Rela Ahmad untuk mempertahankan DUN Bintong yang disandangnya sebelum ini.