Berita Harian: Mutakhir

Thursday, April 11, 2013

PAS tetap bertanding DUN Sg Acheh


(Bernama) - PAS Pulau Pinang pelik dengan tindakan  Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang bertindak mengumumkan calon PKR mewakili Pakatan Rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Nibong Tebal dekat sini, sedangkan mereka telah bersetuju PAS bertanding di kerusi tersebut.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Salleh Man berkata tindakan Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman mengumumkan perkara itu dilihat seolah-olah membelakangi keputusan Pakatan di peringkat pusat yang diputuskan dua hari lepas.

“Saya bawa balik mandat yang telah diputuskan oleh PAS Pusat selepas perbincangan antara tiga parti komponen Pakatan, iaitu kerusi Sungai Acheh adalah milik PAS.


“Jadi keputusan PAS adalah muktamad bahawa kami akan bertanding di Sungai Acheh dan setakat ini tiada sebarang perbincangan dengan PKR negeri kerana keputusan telah dibuat (perbincangan peringkat pusat),” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan nama-nama calon PAS Pulau Pinang di Pejabat PAS, Pongsu Seribu, di sini malam tadi.

PAS meletakkan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Yusni Md Piah untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Acheh yang sebelum ini diwakili calon PKR Azhar Ahamad yang kalah menentang calon Barisan Nasional Datuk Mahmud Zakaria pada pilihan raya umum ke-12.

Mohd Salleh mengumumkan PAS akan bertanding di enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen, dengan satu pertambahan kerusi DUN di Sungai Acheh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). BACA LAGI