Berita Harian: Mutakhir

Monday, April 22, 2013

Tarik diri: Nama calon tetap dicetak pada kertas undi - SPR


PUTRAJAYA - Calon yang memutuskan menarik diri selepas hari penamaan calon, kekal dianggap bertanding dan nama calon itu tetap dicetak pada kertas undi, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata ia selaras dengan pemansuhan tempoh penarikan balik pencalonan yang diperkenalkan SPR pada pilihan raya kali ini.

"Di bawah undang-undang SPR, calon tidak boleh bertindak sedemikian tetapi jika calon tetap ingin mengumumkan menarik diri, itu adalah hak peribadi masing-masing.   

"Pengundi masih tetap boleh mengundi nama calon itu dan kertas undi tetap akan dikira," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Pemansuhan tempoh penarikan balik pencalonan adalah antara penambahbaikan yang diperkenalkan SPR, selaras dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Selain itu, Wan Ahmad berkata bagi pertandingan satu lawan satu dan sekiranya calonnya menarik diri, pegawai pengurus pilihan raya tidak boleh mengumumkan menang tanpa bertanding kerana kertas undi tetap dikira.

"SPR yakin tindakan seperti itu tidak akan mengganggu proses pengundian dan juga proses mencetak kertas undi yang dijangka selesai hari ini," katanya.


Mengenai undi pos di kalangan pengamal media, beliau berkata, tarikh tutup permohonan hari ini dan SPR menjangkakan keputusan sama ada pemohon layak mengundi pos dapat diketahui hujung minggu ini. - Bernama