Berita Harian: Mutakhir

Thursday, May 14, 2009

Lagi Bantuan Di Perlukan


1) 4 kanak-kanak ditinggal ibu bapa perlu bersekolah

KUALA LUMPUR: “Ibu, ayah...di mana kamu...kami mahu bersekolah,” rintih empat kanak-kanak yang masih tidak bersekolah sejak ditinggalkan ibu bapa mereka di sebuah rumah penjagaan kanak-kanak sejak dilahirkan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ibu bapa menyebabkan mereka kini terpaksa menetap di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Petaling Jaya dan tidak boleh menerima pendidikan formal serta mendapatkan rawatan di hospital kerana ketiadaan sijil kelahiran sah.

Dua pasangan adik beradik terbabit iaitu Ratna Devi, 10, Harish @ Hendri, 9, Anandaraj, 10 dan Krishnaraj, 9, masing-masing ditinggalkan di pusat jagaan terbabit oleh bapa mereka tanpa diberikan sebarang dokumen sejak Ogos 2001 dan September 2005. 

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, berkata pihaknya akan cuba membantu kanak-kanak terbabit terutama berkaitan sijil kelahiran mereka.

“Ibu bapa mereka diminta supaya segera menghubungi pejabat Biro Aduan MCA di talian 03-21615678 untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


2) Rayu beli kaki palsu

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Kaki saya dipotong melebihi paras paha, menyebabkan pergerakan saya terbatas. Apabila memikirkan komitmen sebagai pelajar yang melakukan pelbagai aktiviti, ternyata ia bukan perkara mudah,” kata Mohd Fatdli Ismail, 21, yang menderita kanser tulang sejak lima tahun lalu.

Mohd Fatdli ialah pelajar tahun dua, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kedah, dalam jurusan Perbankan merayu bantuan kaki palsu bagi tujuan memudahkannya bergerak menghadiri kuliah serta pelbagai aktiviti sehariannya.

“Memang boleh menggunakan tongkat, namun kerana usia saya masih muda saya berharap kaki palsu itu nanti berupaya menjadi pembakar semangat untuk kembali aktif seperti dulu,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, semalam.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang akauntan, memohon sumbangan orang ramai bagi membiayai pembelian kaki palsu berharga RM7,800.

Mohd Fatdli berkata, kanser dihidapinya tidak dapat dikesan pada peringkat awal menyebabkan dia beranggapan ia hanya bengkak biasa selepas terjatuh ketika bermain bola sepak.

“Saya juga bersyukur kerana di universiti ramai kawan yang sudi membantu setelah melihatkan kekurangan pada diri saya, malah saya tidak pernah menjadikan kekurangan ini alasan untuk tidak hadir kuliah atau terbabit dalam aktiviti di universiti,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menderma boleh berbuat demikian dengan menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan NSTP dengan menulis nama penerima sumbangan di belakangnya dan dialamatkan kepada Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Yang Ikhlas,