Berita Harian: Mutakhir

Wednesday, June 9, 2010

Apa Yang Boleh Kita Belajar Dari Kisah Kejam Ini

'Abang Mat marah, pijak, tendang'

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 8 Jun - Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Manshor, Batang Kali memberitahu mahkamah mereka melihat pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil memarahi seorang kanak-kanak perempuan sebelum memijak perut dan menendang mangsa di sebuah padang bola Februari lalu.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak dapat mengecam kanak-kanak perempuan tersebut kerana jarang melihat mangsa tetapi mengenali seorang lagi budak kecil yang ada bersama mangsa pada masa kejadian.

Budak kecil itu yang dikenali dengan nama 'Amy' merupakan anak kepada tertuduh yang turut dipanggil Abang Mat.

Saksi pendakwa ketujuh, Muhammad Faleeq Hakimi Zazali, 16, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tertuduh memarahi kanak-kanak perempuan itu kerana membaling sebiji bola pantai ke arahnya ketika diminta.

''Abang Mat marah budak tu. Dia kata, 'Kau takda kaki ke nak sepak bola tu?' Abang Mat kemudian sepak balik bola tu dan suruh budak tu ambil semula bola. Budak tu pergi ambil, kemudian peluk bola tu sambil mencangkung.

''Bila Abang Mat minta semula, budak tu tak buat apa-apa, dia diam saja sambil peluk bola tu. Abang Mat kemudian pergi ke arah budak tu dan sepak bola yang masih dipeluk oleh budak perempuan tu. Saya lihat budak tu tercampak bila Abang Mat tendang bola tu,'' katanya.

Dalam keterangannya, Muhammad Faleeq menyatakan, tertuduh telah mengheret kanak-kanak tersebut yang ketika itu berada dalam kawasan kotak penalti dengan memegang tangannya sebelum mencampak mangsa ke luar garisan padang.

Tertuduh kemudian dilihat menyepak bahu dan memijak perut kanak-kanak malang itu.

Melihat keadaan itu, saksi tersebut menyatakan, dia berlari ke arah tertuduh dan mangsa. Dalam masa yang sama, dia melihat rakannya, Ahmad Fikrihalis Zakaria telah berada berhampiran Mohd. Fazli.

Ketika hampir dengan kesemua mereka, saksi itu memberitahu, Mohd. Fazli telah mengugutnya dengan menyatakan: ''Kau jangan sibuk, nanti kau yang aku buat macam ni!''

Sementara itu, Muhammad Nur Afiq Othman, 15, memberitahu, dia terdengar Mohd. Fazli memarahi kanak-kanak perempuan tersebut sebelum menyuruh mangsa menjaga anak tertuduh.

Walaupun berada dalam jarak 60 meter, ujar saksi pendakwa kelapan itu, dia dapat mendengar kerana Mohd. Fazli menjerit dengan lantang: ''Pia, kau jagalah Amy ni, nanti aku pijak dengan but (kasut bola) ni!''

Kanak-kanak yang dipanggil Pia oleh tertuduh, kata Muhammad Nur Afiq, ketika itu dilihat terbaring di padang bola dan tidak memberikan sebarang reaksi ketika Mohd. Fazli membawa anaknya ke arah kanak-kanak tersebut.

''Lepas tu saya nampak Abang Mat pijak kaki budak tu. Budak tu terbaring saja. Abang Mat pakai but masa pijak,'' ujarnya.

Ketika ditanya oleh pendakwa raya kenapa dia tidak membantu atau berbuat apa-apa ketika melihat kejadian tersebut, Muhammad Nur Afiq menyatakan dia "tak berani''.

Kedua-dua remaja tersebut memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes Mohd. Fazli yang didakwa membunuh Syafiah Humaira, 3, di sebuah padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat sini pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Hanim Mohd. Rashid dan Zureen Elina Mohd. Dom manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh.

Seorang lagi saksi, Muhammad Sanusi, 15, memberitahu dia melihat tertuduh tiba di padang bola yang terletak di hadapan rumahnya kira-kira pukul 6.20 petang dengan teksi milik lelaki itu.

Dia yang juga berada di padang itu melihat Mohd. Fazli memarahi salah seorang kanak-kanak yang berada di dalam kereta itu kerana enggan turun dari teksi berkenaan.

''Masa Abang Mat sampai, ada dua orang budak kecil. Salah seorang budak tu besar sikit. Abang Mat marah budak yang besar sikit,'' katanya.

Beberapa minit kemudian, dia terlihat kanak-kanak yang 'besar sikit' terkena hempasan pintu teksi yang ditutup oleh tertuduh sewaktu berdiri di antara pintu dan kerusi kereta.

Dia bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada bahagian kepala atau badan kanak-kanak itu yang terkena hempasan pintu itu.

Pada prosiding hari ini juga, tertuduh dilihat merenung ke arah ketiga-tiga remaja itu dan kadang kala tersenyum ketika mereka memberi keterangan.

Ketiga-tiga saksi itu turut kelihatan tidak senang duduk di kandang saksi sehinggakan Muhammad terpaksa diminta berehat seketika oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki kerana gugup.

Perbicaraan bersambung esok.

Komen M-2Day:

Aku copy paste je dari Utusan Malaysia, tapi apa yang kita perlu belajar dari peristiwa sedih dan kejam ini ialah apa sepatutnya kita lakukan bila kita terlihat perkara sebegini terjadi? Adakah kita perlu tengok dan lihat sahaja? Aku tahu le saksi2 ni budak baru 15 tahun, tapi mereka sepatutnya bertindak sesuatu, misalnya mendapatkan bantuan orang dewasa lain atau talifon lah pihak POLIS. Nombor pun tak susah 999, takkan lupa kut. Kejadian tu kat padang bola, hmmm hairan macam mana orang boleh tak nampak mamat tu tendang terajang anak kecil tu.

Tah la, harap2 kita dapat belajar dari apa yang terjadi ini.

Yang Ikhlas,