Calon Umno-BN: Naib Ketua Wanita Umno Kamilia Ibrahim kecewa
SHAH ALAM – Tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengecewakan dan dianggap penghinaan kepada wanita, kata Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim.
Menurutnya, ia menunjukkan BN tidak beri pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita yang berada dalam hierarki tertinggi organisasi wanita untuk bersama-sama saf kepimpinan parti bertanding pada PRU13.
Beliau, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, beliau sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita Umno dan BN sepatutnya diberikan peluang bertanding di Parlimen supaya dapat terlibat sebagai pembuat dasar dan keputusan politik.
“Tindakan kepimpinan BN memeranjatkan saya dan wanita lain. Saya kecewa kerana tidak ada pengiktirafan sewajarnya diberi kepada pemimpin Wanita Umno dan BN yang mewakili seluruh wanita Umno dan BN,” katanya kepada Sinar Harian.
Kamilia berkata, beberapa ketua Wanita Umno negeri tidak diberikan tempat dalam PRU13, antaranya di Kedah, Johor dan Terengganu, termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
“Kami banyak berjasa, tetapi tidak diberikan tempat. Adakah kepimpinan tertinggi tidak mengiktiraf kelayakan yang kami ada. Kebanyakan kami golongan profesional,” katanya.
“Pucuk pimpinan parti jangan menganggap wanita tidak kisah dengan pencalonan yang diumumkan baru-baru ini. Jangan ingat wanita tidak ada perasaan,” katanya.
p/s: Saya paham perasaan beliau. Tetapi bukan dengan kenyataan umum begini. Sepatutnya buat la bantahan dalaman sahaja. Perbuatan begini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada parti keseluruhan nya. Perjuangan kita lebih besar dari diri kita sendiri. Ini perjuangan BANGSA, AGAMA dan NEGARA! Masih boleh bawak berbincang secara dalaman. Sabo sabo ... bawak bincang ...