Berita Harian: Mutakhir

Wednesday, April 10, 2013

Duit Lesap, PKR Kedah Nafi Songlap

Alor Setar 10 April - Dakwaan bekas Ketua Angkatan Muda Kedah (AMK), Khairul Anuar Ramli bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menyeleweng peruntukan PKR Kedah sebanyak RM 150 000 dinafikan Pengerusi PKR Negeri, Datuk Wan Salleh Wan Isa.
Kenyataan Khairul Annuar yang juga Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah (BBAPNK) itu disangkal Wan Salleh ekoran wang tersebut tidak pernah diterima beliau.
“Kita tidak pernah terima peruntukan sebanyak itu dan aktiviti parti menggunakan peruntukan sendiri. Bagaimana pula dia boleh kata kita seleweng duit perbelanjaan program parti?.
“Dakwaan dilemparkan itu bukan sahaja boleh menjatuhkan imej saya seolah-olah pemimpin parti yang tidak amanah tetapi mengaibkan maruah keluarga,” katanya di pejabat PKR Kedah, di sini baru-baru ini.
Beliau kemudiannya menjelaskan, perbuatan Khairul Annuar menyebabkan rakyat berang dan bertindak menggantung kain rentang meminta penjelasan justeru kepercayaan rakyat terhadap beliau hilang.
“Saya akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi mengenai tuduhan memfitnah dan bakal mengambil tindakan undang-undang termasuk kepada syarikat akhbar terbabit bagi membersihkan semula nama baik.
“Bagaimana pun, saya sedia pertimbangkan semula (tindakan menyaman) jika mereka sanggup tampil memohon maaf secara terbuka supaya isu ini dapat diperbetulkan semula,” ujarnya. SUMBER