SHAH ALAM – PKR mendakwa pemblog kontroversi, Papa Gomo tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan rekod jenayah beliau sebelum ini.
Naib Presidennya, N Surendran berkata, menurut Fasal 48 Perlembagaan, Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris tidak boleh bertanding.
“Tidak layak bertanding,” jawabnya ringkae melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Laporan media semalam menyebut Papa Gomo telah pun mengambil borang pencalonan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh menentang penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, hasrat Papa Gomo untuk bertanding menentang Anwar hanya akan menempa kekalahan buat dirinya.
“Saya fikir orang kenal peribadi Papa Gomo. Orang ramai sendiri mempersoalkannya.
“Kalau dia nak bertanding, bertandinglah.. tidak ada masalah. Kalau nak kalah, pergilah ke Permatang Pauh,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Anwar sudah memberi komen berhubung perkara ini, Dr Muhammad berkata, Anwar masih belum berbuat demikian.
Namun tambah beliau lagi, pengundi di Permatang Pauh terlalu kasihkan Anwar dan masih menyokong beliau sebagai seorang pejuang serta wakil rakyat.
Jelas beliau lagi, kemungkinan tindakan Papagomo yang ingin bertanding di situ sekadar gimik pilihan raya.
“Mungkin kerana geram kepada manusia yang bernama Anwar Ibrahim itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pada 21 Mac lalu, Anwar memfail saman RM100 juta terhadap Wan Muhammad Azri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan perbuatannya menyebar video seks yang dikatakan menyerupai Ketua Pembangkang itu yang terbit dalam blog Papagomo 16 Mac lalu.
p/s: Takkan Pak Nuar Kilang Kunyit takut dgn PAPAGOMO?