Berita Harian: Mutakhir

Saturday, April 25, 2009

Adik Muhammad Shah Danish Perlu Bantuan.


Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Bayi lelaki, Muhammad Shah Danish Shahrul Zahida, 4, yang menderita penyakit jantung berlubang memerlukan RM35,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan segera.

Bapanya, Shahrul Zahida Sabri, 31, berkata dia tidak mampu menanggung kos pembedahan anaknya yang bakal dilakukan dalam tempoh terdekat. Isterinya, Nor Asias Ali, 30 tidak lagi bekerja kerana menjaga Muhammad Shah Danish.

Katanya, dia mensyaki ada sesuatu yang tidak kena pada kesihatan anak bongsu daripada dua beradik itu selepas membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman, Terengganu.

“Sebelum ini kami dimaklumkan anak kami menghidap sindrom down tetapi tidak pula mengetahui dia mempunyai masalah kesihatan lain. Pihak hospital mensyaki anak saya ada masalah pernafasan,” katanya.

Ketika membuat pemeriksaan di Pusrawi dan di Pusat Rawatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), beliau juga dimaklumkan anaknya ada masalah jantung.

Bagi mengesahkan kesihatan anaknya, Shahrul merujuk kes anaknya ke Hospital Gleanagles. Hasil ujian pihak hospital mengesahkan terdapat dua lubang pada jantung Muhammad Shah Danish.

Katanya, pihak hospital meminta pembedahan anaknya itu dilakukan seberapa segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti jangkitan paru-paru.

Katanya, mengikut kata doktor usia empat bulan adalah sesuai untuk melakukan pembedahan. Kami berharap sebelum usia Muhammad Shah Danish mencapai lima bulan, pembedahan berkenaan akan dapat dilakukan.

“Justeru, besarlah harapan kami orang ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi memastikan pembedahan ini dapat dilakukan segera,” katanya.

Mereka yang berhasrat menderma boleh berbuat demikian menerusi cek atas nama Berita Harian dengan menulis nama penerima sumbangan di belakangnya dan dialamatkan ke Bahagian Kewangan/Unit kebajikan, The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Yang Ikhlas,