Berita Harian: Mutakhir

Monday, April 27, 2009

Lagi Memerlukan Bantuan.


Harapan tak pudar
Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Kasih ibu sepanjang hayat. Itu dibuktikan seorang suri rumah dari Kampung Permatang Badak, di sini, apabila sanggup berkorban terhadap anak lelakinya yang lumpuh akibat penyakit tulang belakang bengkok.

Malah, demi masa depan anaknya dia sentiasa menemani anaknya ke sekolah setiap hari.

Hasnah Hamzah, 44, berkata, dia tidak sanggup meninggalkan Fakhrul Iman Abdul Wahid, 11, bersendirian kerana anaknya itu terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan memerlukan pemerhatian khusus.

Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu juga memakai lampin menyebabkan dia perlu berada di sisinya jika mahu ke tandas.

“Malah, pihak sekolah memahami keadaan kami dengan menyediakan kemudahan untuk anak saya termasuk menyediakan kerusi untuk saya menunggu di luar kelas sehingga sesi pembelajaran tamat,” katanya.

Menurut Hasnah, anaknya dikesan menghidap penyakit kronik itu ketika berusia lima tahun apabila hilang imbangan dan kerap jatuh ketika berjalan.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sebelum pemeriksaan doktor mendapati ada cecair berlebihan dalam otaknya.

"Penyakit itu menyebabkan dia lumpuh bahagian bawah badan dan kedua kaki, manakala tulang belakang membengkok,” katanya.

Dia berkata, kes anaknya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani empat pembedahan sejak Julai 2005 untuk membuang sedikit tempurung kepala selain memasukkan tiub bagi membuat laluan keluar cecair itu.

“Selepas pembedahan itu, anak saya perlu menjalani rawatan susulan bagi menegakkan tulang belakang dengan memasukkan besi implan.

“Pembedahan perlu dijalankan segera jika dibiarkan, tulang belakangnya akan menjadi lebih bengkok dan menyebabkan posisi badannya beralih arah. 

“Selain itu, dikhuatiri tulang yang membengkok akan mengambil ruang pada paru-paru menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Hasnah berkata, kos pembelian peralatan implan bernilai RM33,000 dan ketika ini dia sekeluarga tida mempunyai wang untuk menampung pembedahan itu.

“Namun, saya lebih bimbang jika penyakitnya itu menyebabkan dia terpaksa berhenti belajar sedangkan tahun depan dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). 

“Saya tidak mahu membunuh impiannya untuk belajar sehingga peringkat tinggi kerana anak saya juga cemerlang dan guru kerap menjadikan dia sebagai teladan,” katanya.

Mereka yang bersimpati dan ingin menghulur bantuan boleh memasukkan wang ke akaun Maybank milik Hasnah bernombor 1-56226-10533-4 atau menghubungi di talian 017-9788717.


28 tahun derita jantung berlubang

KUALA KETIL: “Keadaan kesihatan suami saya amat membimbangkan kerana tidak boleh aktif apatah lagi untuk bekerja menyebabkan kami terpaksa bergantung hidup kepada ibunya yang bekerja mengambil upah menoreh.

“Dengan pendapatan ibu mentua RM400 sebulan, tidak mampu untuk menyediakan kos pembedahan dan pada masa sama perlu menyara 10 anak, tiga daripadanya masih bersekolah,” kata Norazrin Buang, 25, isteri kepada Mohd Zamri Ahmad, 29, yang menghidap penyakit jantung berlubang di Kampung Kuala Lesung, dekat sini.

Mohd Zamri disahkan doktor Hospital Sungai Petani (HSP) menghidap penyakit itu ketika berusia empat bulan.

Norazrin berkata, pada 2002, suaminya pernah menjalani pemeriksaan rapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) selama seminggu.

Bagaimanapun, disebabkan ketika itu keluarga suaminya tidak mampu menyediakan wang RM30,000 untuk menjalani pembedahan, hasrat untuk berbuat demikian terpaksa dilupakan walaupun menyedari Zamri berdepan dengan risiko.

Meskipun sedih memikirkan nasib ditanggung Zamri, ibunya Halimah Ibrahim tetap berusaha mengumpul wang bagi menampung kos perbelanjaan berulang-alik mendapatkan rawatan Zamri di HPP, tetapi sehingga kini belum mampu menyediakan wang itu untuk tujuan pembedahan. 

Norazrin berkata, sehingga kini suaminya masih di bawah pengawasan serta mendapatkan rawatan di HPP.

“Berdasarkan pemeriksaan doktor hospital terbabit, tiada cara lain bagi menyembuhkan penyakit yang dihidapi suami saya, melainkan pembedahan segera.

“Oleh itu, saya mengharapkan simpati orang ramai agar dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan suami saya menjalani pembedahan,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan memasukkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Halimah, 02300-29-00015258-1 atau hubungi Zamri di talian 019-5182394.

Yang Ikhlas,