Sumber: Berita Harian
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 23 Mei dan hari mengundi pada 31 Mei jika ada pertandingan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berhubung kekosongan kerusi itu pada 17 April lalu.
"Maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), meletakkan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran serta membersihkan namanya daripada tohmahan.
Beliau sebelum itu meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terbabit rasuah.
Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan tiada asas untuk mendakwa beliau.
Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi itu dengan 7,346 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.
Abdul Aziz berkata, Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lalu yang dikemaskini sehingga 16 April lalu akan digunakan pada pilihan raya kecil itu.
Katanya, DPI itu mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.
"Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa," katanya.
Beliau berkata, SPR mensasarkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar keluar mengundi pada hari pengundian kerana ia jatuh pada Ahad.
Katanya, sebanyak 82.1 peratus pemilih berdaftar keluar mengundi untuk kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.
"SPR akan menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
"Manakala bagi urusan pengundian pos, proses pengeluaran dan pengiraan akan dilakukan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.
"Sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan lapan sekolah dan sebuah dewan dengan 32 tempat mengundi (saluran) serta 242 petugas akan terbabit dalam pengendalian pilihan raya ini," katanya.
Yang Ikhlas,