GEORGETOWN: Perbuatan seorang bapa mendera anak perempuannya sehingga mati sebelum ditanam di kawasan padang, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Kampung Pisang, Air Itam di sini, tiga tahun lalu akhirnya terbongkar selepas didedahkan seorang kakak mangsa, kelmarin.
Kakak mangsa serta dua lagi adik-beradiknya juga mengaku pernah didera dan dicabul bapa mereka, yang dikatakan tidak bekerja serta mempunyai tiga isteri dan 10 anak. Anak dibunuh itu pula adalah hasil perkahwinannya dengan isteri kedua.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata polis menggali kawasan berkenaan kira-kira jam 1 petang semalam dan menemui rangka kanak-kanak perempuan itu yang dipercayai berusia dalam lingkungan tujuh tahun.
Beliau berkata, lelaki berusia 40-an itu kini direman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Ayub berkata, pada mulanya polis menerima laporan dari sebuah gereja di sini berhubung kes penderaan fizikal dan seksual terhadap seorang budak perempuan berusia 12 tahun di Flet Medan Angsana, Air Itam.
"Bertindak daripada laporan itu, polis menyoal siasat budak berkenaan serta dua adik beradiknya. Tiga beradik itu mengaku pernah didera dan dicabul bapa mereka.
"Seorang daripada mangsa turut mendakwa bapanya pernah mendera seorang adik perempuan mereka yang cacat sejak dilahirkan hingga mati beberapa tahun lalu," katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh, berkata tulang yang ditemui itu milik kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh tahun dan dipercayai ditanam antara dua hingga tiga tahun lalu.
Katanya, rangka yang ditemui itu tidak lengkap dan ditanam pada kedalaman kira-kira satu meter.
"Hanya tengkorak dan sebahagian tulang mangsa yang sudah tiada tisu ditemui," katanya.
Komen Saya:
Lagi penderaan kanak-kanak! Ya ALLAH! Apa punyer binatang lah mereka2 nih. Sekali lagi aku menyeru semua kita mari lah kita menjadi rakyat yang perihatin untuk menghapuskan binatang-bintang pendera ni! Selagi kita ambil sikap "kamu jaga hal kamu, aku jaga hal aku" dalam hal melibatkan kanak2 seperti ini, maka selagi itu lah kanak2 yang tak berdosa ini akan jadi mangsa! Kita mesti MENGHAPUSKAN pendera2 yang tak berperikemanusiaan ini.
Di atas tu ada saya letakkan nombor2 telifon untuk melaporkan kes2 penderaan (selain dari 999 untuk Polis) Sila lah gunakan khidmat tu. Laporkan lah jika anda rasa ada sesuatu yang tak kene dgn jiran anda ke, atau sesiapa pun. Tolonglah. Sila baca statistik ini.