1) Ibu tak sanggup lihat anak derita sakit kulit
BALING 23 April - Kerana tidak sanggup melihat anaknya menderita sakit kulit, Salmiah Abdul Rahman, merayu kepada mana-mana pusat pakar perubatan kulit tampil membantu anak bongsunya berusia hampir dua tahun, Irshad Azizan.
"Saya berharap ada pakar dapat mengubati Irshad kerana saya tidak sanggup tengok dia menangis siang dan malam serta tidak dapat tidur kerana penyakit yang dialaminya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siput di sini.
Salmiah, 40, berkata, Irshad diserang penyakit kulit yang serius sejak berusia enam bulan dan sehingga kini belum sembuh walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
Irshad, anak bongsu daripada lima beradik, pernah mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, serta pernah dibawa ke hospital pakar kulit di Kuala Lumpur.
Salmiah berkata, keadaan kulit anaknya itu lembut menyebabkannya sentiasa menggelupas ketika cuaca panas.
"Dia selalu mahu saya gosok badannya sehingga berdarah," katanya.
Suaminya, Azizan Mohd. Yusof, 50, seorang buruh am di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, berkata, beliau juga telah berusaha berubat secara tradisional tetapi belum berhasil.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Azizan di talian 013-5049190. — BERNAMA
2) Bantu anak yatim, miskin
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusangroup.com.my
KUALA LUMPUR 26 April - Lebih RM5 juta berjaya dikumpul pada hari pertama pelancaran Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskin (Pemangkin) yang disempurnakan oleh Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang menubuhkan yayasan tersebut memperuntukkan sebanyak RM4 juta kepada yayasan itu.
Sumbangan lain diperoleh daripada Radicalbox Sdn. Bhd. (RM500,000), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM240,000) dan Lembaga Zakat Selangor (RM70,000).
Sementara itu, Khalek Awang and Associates dan Srivijaya Air masing-masing menyumbang RM50,000, Manyalami Engineering and Construction (RM37,000), Masyarakat Acheh di Malaysia dan Alliance Islamic Bank Berhad masing-masing RM30,000 serta DRB Hicom Bhd. (RM25,000).
Rosmah dalam ucapannya berkata, Pemangkin bukan sahaja memfokuskan usaha bagi menangani masalah anak yatim dan miskin di negara ini malah luar negara.
"Seramai 491 anak yatim dan miskin telah mendapat manfaat menerusi program Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Miskin dan Anak Yatim Nasional (Santun) yang merupakan salah satu projek utama Pemangkin,'' katanya.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Rosmah turut melancarkan Skim Sumbangan Amal Jariah untuk Pembangunan Anak-anak Yatim dan Miskin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sementara itu Ketua Pengarah YaPEIM, Dr. Abd. Malek Kecil berkata, pihaknya akan berbincang dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan setiap sumbangan kepada Pemangkin tidak dikenakan sebarang caj perkhidmatan rangkaian.
Orang ramai yang mahu menyumbang kepada Pemangkin diminta menaip AJ1 bagi sumbangan bernilai RM1, AJ5 (RM5) atau AJ10 (RM10) dan hantar kepada 32728.