1) Kering air mata
Oleh Mohd Rashidi Yusuf
am@hmetro.com.my
LENGGONG: “Saya hanya mampu menangis apabila mengenangkan ramalan pakar mengenai hayatnya yang tidak panjang. Namun, bila mengingatkan ia ketentuan Allah dan semuanya dugaan hidup keluarga kami, saya tabahkan hati,” kata Rohasnah Abdul Razak, 39, ibu kepada Mohd Fathu Iqmal Abdul Manan, 9, yang mengalami sakit kelemahan otot secara beransur-ansur (DMD) sejak tiga tahun lalu.
Rohasnah berkata, ramalan pakar perubatan ketika Mohd Fathu Iqmal menjalani pemeriksaan di Hospital Grik (HG) ialah anaknya hanya akan hidup sehingga berusia antara 16 dan 20 tahun saja.
Katanya, pakar berkenaan juga meramalkan anaknya akan hilang upaya berjalan pada usia 12 tahun tetapi keadaan itu berlaku jauh lebih awal daripada jangkaan, iaitu ketika usianya baru meningkat lapan tahun.
2) Ikat perut rawat anak
Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my
BALING: Sejak dikesan menghidap penyakit talasemia ketika berusia 11 bulan, Muhamad Amirul Adam Mohd Norizan, yang kini berusia tiga tahun merengek sepanjang waktu kerana kesakitan dan perutnya pula menjadi buncit menyebabkan dia tidak berasa selesa.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Zulfa Husin, 34, dari Kampung Lela, Kuala Pegang, dekat sini, berkata anaknya terpaksa dimasukkan darah setiap dua minggu di Hospital Baling (HB) supaya tidak lesu bagi mengelakkan dia keletihan dan tidak bermaya selain mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Zulfa berkata, akibat dihimpit kemiskinan mereka tidak mampu merawat anak itu lebih sempurna kerana kos rawatan dan perbelanjaan yang tinggi.
“Suami saya hanya bekerja mengambil upah menoreh getah dan pendapatannya tidak menentu serta hanya cukup untuk perbelanjaan makan minum manakala selebihnya digunakan untuk perbelanjaan anak yang masih bersekolah.
“Pernah kami sekeluarga terputus bekalan makanan dan terpaksa mengikat perut dengan makan apa saja semata-mata untuk merawat anak saya,” katanya.