Berita Harian: Mutakhir

Saturday, May 16, 2009

Mari Derma Darah


1) Kempen derma darah

JOHOR BAHRU 15 Mei - Hospital Pakar Puteri Johor dan Hospital Wakaf An Nur Pasir Gudang akan bekerjasama mengadakan kempen menderma darah sempena Hari Jururawat, Sabtu ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kempen itu akan diadakan di pekarangan tempat letak kenderaan Hospital Wakaf An Nur di Pasir Gudang dekat sini bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang.

"Antara program dalam kempen itu termasuk melawat pesakit di Hospital An Nur dan kempen kesedaran menderma darah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Ali berkata, kira-kira 150 ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) cawangan Kempas, Kelab Motor Warta Johor dan orang ramai dijangka mengambil bahagian dalam kempen itu.

Maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh diperoleh dengan menghubungi bahagian perhubungan awam Hospital Pakar Puteri Johor di 07-2253222.


2) Pak Man minta bantuan segera

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 15 Mei - Berat mata memandangkan, berat lagi bahu yang memikul.

Ungkapan itu mungkin sesuai untuk menggambarkan keperitan hidup seorang warga emas, Tunot@Othman Nati, 71, yang hidup serba kekurangan bersama isteri dan seorang anak perempuannya di Kampung Baru Plentong di sini.

Lebih menyedihkan, isterinya, Jamilah Mahadi, 50, yang diharap dapat berkongsi segala suka dan duka disahkan mengalami masalah mental sejak 10 tahun lalu.

Namun, segala keperitan hidup yang dilalui perlu diterima dengan reda biarpun hatinya sering menangis.

"Saya sudah lama tiada pekerjaan tetap. Selama ini saya hanya mengharapkan pendapatan tidak menentu sebagai pemotong kayu. Kadangkala dapatlah RM50 sebulan," kata Othman sayu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Man memberitahu, untuk membeli barangan keperluan seharian, dia terpaksa berhutang di kedai runcit berhampiran.

Akibat selalu kesempitan wang, hutangnya di kedai berkenaan kini sudah mencecah RM400.

Pak Man mengakui dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM135 sebulan.

Namun, sejak November tahun lalu, bantuan tersebut tidak diterimanya gara-gara kad bantuan miliknya dikembalikan kepada pihak JKM untuk tujuan penukaran status bantuan, katanya.

"Saya pulang balik kad tersebut kepada JKM kerana saya layak untuk memohon bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu sebanyak RM300 sebulan, namun sehingga sekarang status tersebut masih belum diketahui," katanya.

Mujurlah, anak tunggalnya, Norazizah, 18, turut membantu meringankan beban si bapa.

Dia yang hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga kini bekerja di sebuah restoran makanan segera.

"Anak saya pun tolong saya, tapi kita pun faham, pendapatan dia pun tidaklah seberapa," katanya.

Yang Ikhlas,