Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh ekoran tindakan MP Kinabatangan membangkitkan dakwaan bahawa DAP mungkin "menaja" tindakan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang memuatkan kandungan kontroversi di Internet.
Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dalam ucapannya pagi ini meminta agar kerajaan menahan dan menghukum pasangan terbabit yang sebelum ini terkenal dengan kontroversi video seks.
Kekecohan tercebut apabila Bung mendakwa DAP mungkin "menaja" pasangan tersebut.
"Mereka perlu didakwa dan ditangkap serta merta, jangan dibebaskan. Penjarakan.
"Saya rasa gejala ini berlaku selepas (Pilihan Raya Umum ke-13) PRU 13, mungkin ini semua tajaan DAP," kata Bung.
Kenyataannya itu mengundang kemarahan MP DAP yang bangun dan membantahan dakwaan tersebut, antaranya V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Anthony Loke (DAP-Seremban), Nga Kor Ming (DAP-Taiping).
"Ini fitnah. Tarik balik. Tarik balik kenyataan," jerit Nga.
Bung Mokhtar bagaimanapun hanya ketawa apabila melihat seorang demi seorang MP berkenaan bangun membantah kenyataannya.
"Saya kata mungkin. Bukan tuduhan," katanya lagi sambil ketawa.